Dua anak Amirul Hafiz jadi anak angkat MARA
KUALA LUMPUR – Dua anak penunggang motosikal, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dirempuh pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah Ahad lalu diambil sebagai anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua beradik dikenali Aqif dan Atif itu kini menjadi anak angkat Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Menurut beliau, keputusan itu diambil atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan pihaknya bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak mangsa terus terbela susulan kehilangan tempat bergantung.
“Kedua-dua mereka akan menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang bagi sekolah rendah dan RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.
“Ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu komitmen jangka panjang. Pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Dalam pada itu, Dr Asyraf sempat melakukan panggilan video bersama ibu Allahyarham, Faridah.
BACA JUGA:
Isteri penunggang maut dirempuh pemandu mabuk mahu keadilan buat arwah
“Dalam nada penuh sebak, Faridah berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.
“Kehilangan ini amat dirasai kerana arwah merupakan tempat bergantung anak-anak yang masih kecil.
“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Amirul Hafiz meninggal dunia di lokasi kejadian dalam keadaan tragik selepas dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Insiden itu membangkitkan kemarahan ramai pihak yang menuntut pembelaan sewajarnya terhadap mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















