BERITA SEMASA

12 ‘Bayi Merdeka’ lahir di HTA, termasuk pasangan kembar

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini begitu bermakna buat 12 keluarga apabila cahaya mata mereka dilahirkan di Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini, hari ini.

Kesemua bayi berkenaan, termasuk sepasang bayi perempuan kembar dilahirkan antara tengah malam hingga tengah hari, dengan enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan.

Pengarah HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata, kelahiran pada Hari Kebangsaan bukan sekadar tarikh istimewa, sebaliknya membawa makna lebih besar sebagai simbol kehidupan, harapan dan masa depan negara.

“Setiap kelahiran bukan hanya satu nombor. Ia mencerminkan keluarga, harapan dan kepercayaan masa depan,” katanya ketika berucap pada sambutan Bayi Merdeka HTA 2026.

Bagi Nor Asyikin Mat Zain, 29, kelahiran anak keduanya pada 31 Ogos menjadikan sambutan kali ini cukup istimewa buat keluarganya.

Menurutnya, anak sulung yang kini berusia empat tahun dilahirkan pada 1 Januari, manakala adiknya, seorang bayi lelaki seberat 3.13 kilogram, dilahirkan secara normal pada jam 5.45 pagi hari ini.

“Sejujurnya, saya bangga. Anak sulung saya pada tahun baharu, dan sekarang adiknya pada Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Siti Zulaikha Mohd Jasni, 33, menjadi ibu pertama melahirkan Bayi Merdeka di HTA tahun ini apabila bayi lelakinya seberat 2.78 kilogram dilahirkan menerusi pembedahan pada jam 12.05 tengah malam.

Walaupun dilahirkan lebih awal daripada tarikh jangkaan pada 8 September, Siti Zulaikha menyifatkan 31 Ogos kini menjadi tarikh yang lebih bermakna buat keluarganya.

Bagi Rajeah Amud, 32, kelahiran anak sulungnya pada Hari Kebangsaan pula dianggap sebagai satu anugerah apabila bayi perempuan itu dilahirkan secara normal pada jam 7.55 pagi, walaupun dijangka lahir pada 8 September.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button