BERITA SEMASA

Jangan takut kibarkan Jalur Gemilang – Fahmi

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak takut atau gusar untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, walaupun terdapat segelintir pihak cuba menimbulkan keresahan terhadap aktiviti itu, ia tidak seharusnya melemahkan semangat patriotisme rakyat.

“Jangan ada rasa takut untuk kibatkan Jalur Gemilang.

“Ada yang risau kerana tindakan sekelumit pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen dan menangguk di air keruh untuk menakut-nakutkan orang,” katanya ketika berucap pada program Penyemarakan Seni Budaya @Komuniti Pantai Dalam 2025 di PPR Kerinchi, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan ketegangan antara kaum, agama dan budaya, sekali gus menamatkan amalan memberi amaran atau teguran semata-mata.

Anwar berkata, unsur negatif yang semakin membarah sejak kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli serta isu Jalur Gemilang dipasang terbalik perlu dihentikan segera.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan tiada pihak boleh mengambil alih peranan pihak berkuasa.

“Jangan ambil tindakan bagi pihak polis, biarlah polis yang menyiasat. Jangan ambil tindakan bagi pihak Jabatan Peguam Negara, biarlah Peguam Negara yang mendakwa. Jangan ambil tindakan bagi pihak hakim, biarlah mahkamah yang memutuskan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan keyakinan.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang supaya kita mengingatkan diri, keluarga dan komuniti bahawa Malaysia ini milik kita bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button