SC, MCMC perkukuh penguatkuasaan bendung penipuan digital
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam usaha pencegahan serta penguatkuasaan terhadap jenayah penipuan, khususnya dalam talian.
MoU tersebut ditandatangani Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam satu majlis di sini hari ini.
Majlis itu turut disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
Kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat, termasuk skim pelaburan palsu dan tidak berlesen yang memanfaatkan platform digital serta teknologi komunikasi.
Selain itu, kedua-dua agensi akan memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dalam aspek pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan.
Langkah tersebut juga selari dengan pengukuhan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan dalam menangani jenayah penipuan, sekali gus memperkukuh perlindungan kepada orang ramai daripada penipuan pelaburan digital.
Berdasarkan rekod, pada tahun 2024 dan 2025, SC dengan kerjasama MCMC telah mengambil tindakan terhadap pelbagai platform penipuan, termasuk menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon.
Mohammad Faiz berkata, MoU berkenaan mencerminkan komitmen SC dalam melindungi kepentingan pelabur serta mengekalkan integriti pasaran modal negara.
“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan.
“Dengan menggabungkan kepakaran SC dan MCMC, kita dapat bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang semakin kompleks, di samping meningkatkan kesedaran awam berkaitan penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MCMC betkata, kepentingan kerjasama operasi antara agensi dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat.
Menurutnya, penyelarasan yang lebih kukuh akan mempercepatkan perkongsian risikan, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan serta membolehkan tindakan lebih pantas diambil terhadap kandungan berkaitan penipuan.
Kerjasama itu merupakan kesinambungan daripada perbincangan awal antara kedua-dua agensi sejak Mac tahun lalu, yang telah membuka ruang kepada pelbagai inisiatif termasuk sekatan pantas laman web serta penerokaan teknologi baharu.
Selain penguatkuasaan, SC dan MCMC turut merancang pelaksanaan program pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan bertanggungjawab, keselamatan kewangan serta perlindungan dalam ruang digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















