Isteri penunggang maut dirempuh pemandu mabuk mahu keadilan buat arwah
LARUT – Isteri penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk, Nor Nadia Abdul Majid bertegas menuntut keadilan dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.
“Saya mahukan keadilan untuk suami dan anak-anak. Saya tak mahu ia berlalu begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Repoh, Batu Kurau, di sini hari ini.
Nor Nadia, 32, merupakan isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut secara tragik selepas dirempuh seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor semalam.
Menurut wanita itu, dia dan seluruh keluarga amat mengharapkan hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Undang-undang yang ada sekarang belum cukup bagi mengganti nyawa suami,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Justeru, Nor Nadia mengakui, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit dan sudah mendapatkan khidmat peguam.
“Saya perlu tabah membesarkan tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun yang masih belum memahami erti kehilangan bapa mereka.
“Anak saya ingat ayah sakit, mereka tak faham lagi. Saya kena kuat demi mereka,” katanya lagi.
Menceritakan kembali kejadian itu, Nor Nadia berkata, suaminya dalam perjalanan membeli buku sekolah anak mereka.
Dia berkata, arwah keluar rumah pada pukul 10 pagi ke Seksyen 19, Shah Alam bagi membeli buku anak sulung.
“Dia cakap nak pergi beli buku Matematik untuk anak sebab memang dah beberapa hari dia rancang nak beli untuk anak guna masa sekolah nanti.
“Kali terakhir kami berhubung beberapa minit sebelum pukul 11 pagi apabila dia menghantar mesej bertanyakan mengenai beberapa dokumen.
“Pada pukul 11 pagi, suami mesej mengatakan ada barang sampai dan selepas itu saya tidak dapat hubunginya lagi,” cerita Nor Nadia.
BACA JUGA:
[VIDEO] Penunggang motosikal maut dilanggar pemandu positif alkohol, dadah
Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut direman empat hari
Menurutnya, tidak lama kemudian dia menerima panggilan daripada polis trafik yang memaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan.
“Saya ingatkan panggilan itu scam, tapi bila dia sebut nama suami, saya terus rasa tak sedap hati.
“Dia beritahu suami saya sudah tiada dan masa itu memang saya tak boleh terima, remuk hati saya,” ujarnya dalam nada sebak.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Faridah Ahmad, 56, berkata, dia sempat meluangkan masa beberapa hari bersama arwah di rumah anaknya itu di Klang sewaktu menghadiri kenduri sanak saudara.
“Semasa kami berjumpa sanak saudara di majlis kenduri di Klang baru-baru ini, arwah ada bergurau kata gambar itu nanti nak masuk dalam surat khabar dan televisyen, saya tak sangka ia jadi kenyataan,” katanya.
Faridah berkata, sebelum pulang balik ke Batu Kurau, arwah sempat peluk dan meminta maaf sebab terlalu sibuk cari rezeki untuk keluarga.
“Saya kata tak apa, mak faham, namun tak sangka itu pertemuan kali terakhir kami,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan kejadian namun amat berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan serta mengenakan hukuman berat kepada pelaku kerana anaknya meninggal dunia dalam keadaan tidak bersalah.
Jenazah Allahyarham Amirul Hafiz selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Repoh.
Sementara itu, wakil Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pihaknya akan membantu keluarga mangsa daripada segi kebajikan dan sokongan diperlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















