PRN Negeri Sembilan: Warga emas Labu yakin PH mampu terus bawa pembangunan
RASAH – Golongan warga emas Kampung Kering di Batu 8, Labu, di sini menyatakan keyakinan Pakatan Harapan (PH) wajar diberi mandat untuk terus mentadbir Negeri Sembilan berdasarkan prestasi kerajaan negeri dan Persekutuan yang disifatkan memberi manfaat kepada rakyat.
Penduduk, Siti Mariam Ali, 79, yang dilahirkan dan membesar di kampung berkenaan berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada PH selagi masih hidup.

“Saya dah duduk sini sejak lahir. Sekarang umur saya 79 tahun.
“Saya setuju dan berminat dengan parti Pakatan Harapan sampai bila-bila, selagi ada hayat,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Menurutnya, beliau berpuas hati dengan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya suka parti PH. Pandangan saya calon DUN Labu, Datuk Faez (Datuk Faez Abdul Razak) ni cantik, ditambah lagi Perdana Menteri. Dalam pentadbirannya cantik, bersih, jujur.
“Itu sebab saya memang suka PH. Harapan saya, biarlah Pakatan Harapan menang buat masa ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Raus Mohd Atan, 76, turut berharap PH diberikan peluang untuk meneruskan pentadbiran negeri bagi satu penggal lagi.
“Tahun 2026 ini, biarlah Pakatan Harapan memerintah satu penggal lagi atau seterusnya. Pakatan Harapan di bawah Datuk Seri Aminuddin sebagai Menteri Besar yang baik,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah memberi manfaat kepada rakyat.

“Banyak dia bagi pada rakyat Negeri Sembilan ini. Macam-macam dia bagi.
“Pertama bila Hari Raya, dia bagi RM200, yang lain-lain tu kerajaan pusat bagi lagi,” katanya.
Mohd Raus turut menyifatkan calon PH bagi DUN Labu, Ahmad Faez sebagai calon yang dekat dengan masyarakat kerana berasal dari kawasan tersebut.
“Dan calon di N20 ini, Datuk Faez bagus orangnya. Dia orang kampung sini, anak jati di sini. Baik bagi saya.
“Kalau boleh biarlah dia memerintah sama-sama PKR dan Kerajaan Perpaduan serta Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, walaupun sudah berusia, beliau masih aktif berkebun bagi mengisi masa lapang.
“Nak keluarkan peluh dalam badan, terpaksalah berkebun, menebas, mencangkul, meracun dan menebang,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru pengundi di DUN Labu supaya memberikan sokongan kepada PH pada hari pengundian.
“Saya harap pengundi di kawasan Labu ini biarlah pangkah Pakatan Harapan. Yang lain buang masa saja.
“Saya duduk sini dah 70 tahun, tak pernah saya mengundi Barisan Nasional,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















