Kewujudan ikan pirana perut merah di Empangan Klau belum dipastikan – DOF
PUTRAJAYA – Pengesahan terhadap dakwaan penemuan ikan pirana perut merah di Empangan Klau, Raub, Pahang baru-baru ini masih belum dimuktamadkan kerana spesimen ikan berkenaan tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut selepas dibuang individu yang menangkapnya.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi, Negeri Sembilan terhadap gambar dan rakaman video ikan berkenaan mendapati ciri morfologi yang dapat dilihat konsisten dengan Genus Pygocentrus, iaitu kumpulan ikan pirana.
“Bagaimanapun, pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies tidak dapat dibuat, kerana spesimen fizikal tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.
“Ikan tersebut dilaporkan telah mati dan dibuang oleh individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Adnan, setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut pada 26 Ogos lalu, manakala siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu, belum terdapat bukti yang menunjukkan populasi ikan pirana telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.
Sebelum ini, terdapat dakwaan kewujudan spesien berkenaan di Empangan Klau oleh seorang pemancing sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan spesies asing itu berada di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam agar tidak panik dan memberi jaminan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan kepada awam.
Beliau turut menegaskan bahawa pelepasan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.
“Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.
“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air. Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) jika diperlukan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
