BERITA SEMASA

Tanah diceroboh, koperasi desak tindakan segera

PUCHONG – Koperasi Keluarga Mohd Saad Selangor Berhad mendakwa berdepan pelbagai isu membabitkan pencerobohan tanah, aktiviti bercucuk tanam tanpa kebenaran serta pengubahsuaian alur air yang didakwa dilakukan tanpa persetujuan pemilik di Pulau Meranti di sini.

Pemegang Kuasa bagi pihak koperasi berkenaan, Matnoor Mohamad Hashim berkata, pihaknya kesal kerana aduan yang dikemukakan kepada beberapa agensi berkaitan didakwa masih belum menerima tindakan tegas sehingga kini.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan ialah dakwaan pencerobohan tanah di bahagian hadapan sebuah rumah oleh seorang individu yang dikenali sebagai Abu.

Beliau berkata, pihaknya juga mendakwa sebuah pemaju telah membuka pagar di kawasan tanah berkenaan tanpa kebenaran sebelum membenarkan warga asing menjalankan aktiviti bercucuk tanam di atas tanah tersebut.

“Selain itu, kami turut mendapati terdapat kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian alur air atau sungai di kawasan berkenaan yang didakwa dilakukan tanpa sebarang makluman serta kebenaran daripada pihak kami.

“Tindakan tersebut didakwa telah mengganggu struktur asal kawasan dan memberi kesan secara langsung kepada tanah yang berada di bawah kawalan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Matnoor berkata, pihak koperasi telah berulang kali mengemukakan aduan dan menghadiri sesi perbincangan dengan pihak majlis perbandaran, Pejabat Tanah serta Ahli Majlis kawasan Pulau Meranti bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya beranggapan tiada tindakan susulan yang memuaskan diambil bagi menangani masalah yang dibangkitkan.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah supaya segera menjalankan siasatan rasmi serta mengambil tindakan bagi menghentikan sebarang aktiviti yang didakwa menyalahi peraturan di kawasan tersebut.

“Kami juga mahu pihak pemaju bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kerosakan yang didakwa berlaku akibat pembinaan alur air tanpa kebenaran dan memulihkan semula keadaan tanah kepada keadaan asal.

“Ahli Majlis kawasan juga diharap dapat memberi perhatian serius terhadap kebajikan serta hak pemilik tanah tempatan agar isu ini tidak terus berlarutan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihak koperasi tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak mereka sekiranya isu berkenaan terus berlanjutan tanpa penyelesaian yang sewajarnya.

“Tndakan itu penting bagi memastikan hak pemilikan tanah dihormati serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kepentingan pemilik tanah di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button