BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: PKR reda, hormati keputusan rakyat – Nurul Izzah

SEREMBAN – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan hati terbuka serta menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Beliau berkata, PKR menerima keputusan pilihan raya dengan penuh reda, sambil mengulangi pendirian bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bahawa keputusan rakyat perlu dihormati.

“Alhamdulillah, kita reda dengan keputusan dan kita hormati suara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah diberikan mandat oleh rakyat serta kepada kerajaan negeri yang bakal memikul tanggungjawab mentadbir Negeri Sembilan.

Menurut Nurul Izzah, persaingan politik merupakan lumrah dalam proses demokrasi, namun selepas keputusan dimuktamadkan, fokus perlu beralih kepada pelaksanaan amanah demi kepentingan rakyat.

Katanya, setiap wakil rakyat yang dipilih kini memikul tanggungjawab untuk berkhidmat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun kecenderungan politik.

“Mereka perlu berlaku adil, mendengar suara rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua kerana keperluan rakyat tidak mengenal warna parti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, petugas bilik gerakan, sukarelawan, pemerhati, penceramah, petugas media, anggota keselamatan serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

Nurul Izzah berkata pengorbanan masa, tenaga dan doa daripada semua yang terlibat menjadi kekuatan kepada perjuangan parti, selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memastikan proses demokrasi berlangsung dengan aman dan tertib.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button