Tok Mat harap rakyat Negeri Sembilan tunaikan tanggungjawab, sasar 70-75 peratus keluar mengundi
REMBAU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mencapai sekurang-kurangnya antara 70 hingga 75 peratus, yang disifatkannya sebagai satu kadar memberangsangkan.
Menurut calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu, walaupun sasaran peratusan lebih tinggi sentiasa diharapkan, namun kadar itu sudah memadai memandangkan ramai pengundi berdaftar tidak lagi menetap di kawasan masing-masing.
“Saya harap peratusan keluar mengundi tinggi kerana mengundi adalah tanggungjawab setiap warganegara Malaysia.
“Tetapi kalau kita dapat 70 hingga 75 peratus pun sudah memadai kerana ramai pengundi berdaftar sebenarnya tidak tinggal di sini lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua, Rantau, di sini hari ini.
Mohamad berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar keluar mengundi ialah ramai pengundi yang telah berpindah tempat tinggal tetapi tidak mengemas kini alamat atau pusat mengundi mereka.
Katanya, keadaan itu melibatkan pelbagai golongan termasuk guru, anggota tentera serta bekas anggota polis yang telah bersara dan menetap di lokasi lain.
“Kita cuba hubungi pengundi-pengundi ini tetapi tidak berjaya. Ramai yang sudah berpindah, namun masih berdaftar sebagai pengundi di sini.
“Jadi mereka menjadi sebahagian daripada pengundi yang sukar dikesan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan trend pilihan raya sebelum ini, kadar keluar mengundi sekitar 70 hingga 75 peratus merupakan angka yang lazim dicatatkan dan disifatkan sebagai pencapaian yang baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















