JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Rumbia: Polis bongkar kegiatan warga asing proses methamphetamine

KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dadah methamphetamine bernilai RM35.24 juta yang didalangi dua warga asing menerusi Ops Rumbia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam operasi diadakan pada 10 September lalu itu, sebanyak enam siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dilaksanakan membawa kepada penahanan 11 suspek berusia antara 25 hingga 48 tahun.

“Operasi ini bukan sahaja berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah, malah turut membawa kepada pembongkaran sebuah makmal haram yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah serta didalangi warga asing.

“Ia sekali gus menggagalkan usaha sindiket untuk membekalkan dadah ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau menambah, serbuan di sebuah banglo di Ampang membawa kepada penemuan 345 kilogram (kg) serbuk disyaki methamphetamine, 344kg cecair disyaki methamphetamine, 320 gram (g) MDMA, sepucuk pistol revolver .38, tujuh butir peluru hidup serta peralatan memproses dadah.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah seperti banglo di kawasan perumahan sebagai makmal memproses dadah dan dipercayai aktif sejak Januari tahun ini. Kediaman itu dipercayai disewa dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Serbuan susulan di sebuah kondominium pula merampas 30.5kg MDMA, 20g ganja dan 63g pil Erimin 5.

Serbuan seterusnya di Kepong, Brickfields, Sepang dan Subang Jaya turut membawa kepada penahanan enam suspek serta penemuan peralatan pemprosesan dadah.

Hussein berkata, dua daripada 11 suspek dikenal pasti sebagai ketua sindiket dan ahli kimia, masing-masing warga asing yang memegang pasport Kanada dan Australia.

Kedua-duanya memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

“Dua-dua adalah warga asing berusia lingkungan 40-an. Seorang lelaki Korea memiliki pasport Kanada dan seorang lagi lelaki Vietnam memiliki pasport Australia.

“Kita perlu semak dengan kedutaan sama ada pasport itu betul, tetapi sewaktu serbuan dan tangkapan, seorang memiliki pasport Kanada dan seorang memiliki pasport Australia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button