Taufan Noul landa Hong Kong, ratusan penerbangan dibatalkan
HONG KONG – Wilayah ini berdepan hujan lebat dan angin kencang apabila Taufan Noul menghampiri pesisir selatan China, sekali gus memaksa pihak berkuasa menaikkan amaran serta membatalkan lebih 150 penerbangan.
Semalam, balai cerap Hong Kong mengeluarkan isyarat amaran T9 ketika taufan itu bergerak semakin hampir, dengan angin kencang yang dijangka melanda sebahagian besar wilayah berkenaan, lapor China Daily Asia.
Di pusat bandar, perancah pada bangunan pencakar langit turut runtuh dan menghempap struktur bangunan lain namun tiada kecederaan dilaporkan.
Taufan Noul dijangka membadai kawasan pantai di antara Hong Kong dan wilayah Guangdong sebelum bergerak ke pedalaman China.
Di Guangdong, lebih 340,000 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala perkhidmatan kereta api digantung di beberapa kawasan.
Selain penerbangan, beberapa perkhidmatan feri dan aktiviti di kawasan pantai turut dihentikan sementara berikutan keadaan laut bergelora dan risiko banjir.
Sekolah serta beberapa kemudahan awam di wilayah yang dijangka menerima impak turut ditutup.
Setakat ini, pihak berkuasa Hong Kong melaporkan kerosakan yang berlaku adalah terhad dan penduduk dinasihatkan terus berada di dalam bangunan dan mengelakkan kawasan pantai sehingga keadaan cuaca kembali selamat.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, Taufan Noul membawa angin berkelajuan sehingga 145 kilometer sejam ketika membadai pantai selatan negara itu sebelum dijangka beransur lemah selepas bergerak ke pedalaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















