LUAR NEGARA

5.3 juta penduduk terjejas, 30 terbunuh akibat angin monsun, puting beliung tropika di Filipina

MANILA – Fenomena monsun barat daya yang berlaku serentak dengan tiga puting beliung mengorbankan sekurang-kurangnya 30 nyawa, tujuh masih hilang dan lebih 5.3 juta penduduk terjejas di seluruh Filipina.

Agensi berita Xinhua yang memetik laporan Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina hari ini melaporkan, hujan lebat berterusan sejak minggu lalu telah mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh, mengorbankan puluhan nyawa.

Menurut NDRRMC, tujuh individu dilaporkan masih hilang, sama ada dihanyutkan arus deras atau tertimbus dalam tanah runtuh, manakala 10 orang lagi cedera akibat bencana tersebut.

Gambar dari udara menunjukkan keadaan sebuah perkampungan di Calumpit, wilayah Bulacan, utara Manila, yang terjejas akibat banjir. – Foto AFP

Dalam laporan sama, lebih 1.46 juta keluarga di seluruh negara terjejas akibat hujan lebat yang berpanjangan.

Pejabat Pertahanan Awam Filipina pula memaklumkan bahawa sebanyak 88 bandar dan majlis perbandaran telah mengisytiharkan darurat bencana bagi mempercepatkan usaha menyelamat dan mengagihkan bantuan kecemasan.

Meskipun tiga tiupan puting beliung Wipha, Francisco dan Co-May telah keluar dari wilayah Filipina, Jabatan Meteorologi negara itu memberi amaran bahawa monsun barat daya masih aktif dan dijangka terus membawa hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, khususnya di pulau Luzon.

Filipina secara purata dilanda sekitar 20 taufan setiap tahun, menjadikannya antara negara paling terdedah kepada bencana alam di rantau Asia Pasifik.

Keadaan geografi negara kepulauan itu turut menyumbang kepada risiko tinggi berlakunya banjir, tanah runtuh dan ribut taufan.

Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada operasi mencari dan menyelamat serta pengagihan bantuan kepada komuniti yang terputus hubungan, selain mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi gelombang hujan susulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button