SUKAN

Piala Tun Ali: Syahir Rosdi ketuai regu MARA muncul juara kumpulan, mara ke pusingan kedua

MELAKA – Pendatang baharu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 selepas menjuarai Kumpulan E di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, petang tadi.

MARA yang turun dengan reputasi besar, mempertaruhkan barisan pemain yang menjulang Kuala Lumpur sebagai juara pada musim lalu iaitu, Syahir Rosdi, Aekkasit Naphom dan Amirul Zazwan Amir.

MARA tampil meyakinkan sepanjang peringkat kumpulan dan kini dilihat antara pencabar utama gelaran edisi kali ini.

Kejayaan itu sekali gus menambah keterujaan peminat yang mahu melihat sejauh mana pasukan baharu ini mampu melangkah dalam saingan kalah mati esok.

Sementara itu, slot naib juara Kumpulan E menjadi milik Kementerian Pengajian Tinggi-Majlis Sukan Universiti Malaysia (KPT-Masum) selepas menundukkan Sabah 15-5, 15-13 untuk turut mara ke pusingan kedua.

Dalam pada itu, Perak yang dibarisi tekong Thailand, Kritsada Sungvung dan gandingan negara Noraizat Nordin serta Aidil Aiman Azwawi meneruskan penguasaan apabila mudah menumpaskan Bomba 15-10, 15-9 sekali gus muncul juara Kumpulan B dan mara bersama Pahang sebagai naib juara kumpulan.

Namun laluan berbeza dilalui PDRM apabila terpaksa bertarung sengit selama 88 minit sebelum menewaskan Johor 7-15, 15-12, 15-12.

Johor yang diperkuatkan bekas bintang negara, Hairul Hazizi Haidzir dan Khairol Zaman Hamir Akhbar gagal mengekang asakan skuad beruniform itu pada set penentuan.

PDRM bermula dengan khidmat tekong Thailand, Worapat Kaewtawatwiset sebelum pertukaran taktikal membawa masuk Zulkifli Razak bersama pasangan kembar Shahalril Aiman Halim dan Shahalril Aimin Halim yang menjadi pemangkin kebangkitan.

Dalam perkembangan lain, Selangor mengesahkan status juara Kumpulan D lebih awal, manakala Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mara selepas menamatkan kempen Kumpulan C di dua teratas.

Negeri Sembilan mengetepikan cabaran Terengganu 15-13, 15-9 hasil ketajaman tekong kidal negara, Haziq Hairul Nizam.
Saingan pusingan kedua dijangka lebih sengit esok dengan MARA kini menjadi pasukan tumpuan untuk meneruskan kejutan di pentas elit.

Keputusan Lain:

Kuadran (Lelaki)
KPT-Masum 15-13, 15-7 Melaka (D)
Johor 15-8, 13-15, 17-16 Perlis (C)
Kuala Lumpur 15-10, 15-8 Penjara (B)
ATM 15-13, 15-10 Perak (A)

Regu (Wanita)
Sabah menang percuma Pulau Pinang (D)
PDRM 15-11, 15-6 Selangor (C)
Perak 15-6, 15-9 Penjara (B)
Kuala Lumpur 15-13, 17-15 Perlis (A)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button