BERITA SEMASA

MARA meterai MoU dengan universiti ketiga terbaik di China

SHANGHAI, China – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan TVET berimpak tinggi
serta sosio-budaya antara Malaysia dan China.

Menurut MARA dalam satu kenyataan, universiti tersebut kini berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan ketiga di China.

Katanya, majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di kampus SJTU,
Shanghai disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Melalui perjanjian ini, MARA dan SJTU akan bekerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk pertukaran kepakaran teknikal TVET bertaraf tinggi dengan integrasi AI serta pertukaran kepakaran bagi memperkukuh kapasiti institusi serta pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan akademik bersama yang memfokuskan kepada inovasi, sains dan teknologi.

“Selain itu, pertukaran pelajar dan tenaga akademik bagi tujuan pengajian lanjutan, latihan serta penyelidikan; penerokaan peluang biasiswa dan kerjasama akademik untuk pelajar Malaysia di SJTU dan penajaan bersama projek penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di kampus SJTU, Shanghai disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata,
kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam usaha MARA
meluaskan jaringan pendidikan ke peringkat global dan membuka lebih
banyak peluang pembelajaran bertaraf dunia kepada pelajar Bumiputera.

“SJTU merupakan antara universiti terkemuka dunia yang terkenal dengan kecemerlangan akademik, TVET berimpak tinggi dan inovasi penyelidikan. Kerjasama ini bukan sahaja membuka laluan kepada pelajar MARA untuk memperoleh pendedahan global bertaraf antarabangsa tetapi turut memperkukuh peranan MARA
sebagai peneraju dalam melahirkan modal insan Bumiputera yang
berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Tambah beliau, inisiatif itu juga sejajar dengan visi MARA untuk memperkasakan golongan belia Malaysia melalui pendidikan berkualiti
dan jaringan kerjasama antarabangsa, seterusnya menyumbang ke
arah pembentukan ekonomi Bumiputera berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Ditubuhkan pada tahun 1896, SJTU merupakan antara universiti tertua
dan paling berprestij di China, yang diiktiraf atas kecemerlangan dalam
bidang kejuruteraan, sains, perniagaan dan teknologi.

Kerjasama itu turut menyokong komitmen Kementerian Kemajuan
Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperluas akses kepada
pendidikan berimpak tinggi, keusahawanan serta kolaborasi global
bagi memastikan belia Malaysia, sama ada di luar bandar mahupun di
bandar, terus cemerlang di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button