KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 anak syarikat komersial di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) merekodkan lonjakan ketara apabila hasil kumpulan meningkat hampir 10 kali ganda kepada RM1.026 bilion berbanding RM152 juta pada 2021, sekali gus mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM85.9 juta.
Perkembangan itu seiring peningkatan keseluruhan prestasi MARA yang mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 10 peratus daripada RM1.53 bilion pada 2024 kepada RM1.69 bilion bagi tahun berakhir 2025.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, pencapaian tersebut mencerminkan pemulihan kewangan yang kukuh serta keberkesanan strategi transformasi yang dilaksanakan walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
Menurutnya, pertumbuhan itu didorong oleh transformasi sektor kewangan korporat yang menekankan disiplin pengurusan modal dan tadbir urus lebih berkesan.
Zulfikri Osman
“Dari segi prestasi, syarikat-syarikat komersial di bawah MARA ini meningkat hampir 10 kali ganda daripada RM152 juta pada 2021 kepada RM1.026 bilion tahun lalu,” katanya pada Sidang Media Khas Pelaburan MARA sempena ulang tahun ke-60 agensi itu di World Trade Centre hari ini.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn. Bhd., Datuk Amir Azhar Ibrahim, Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Dr Azmi Amat Murjan dan barisan ketua pegawai eksekutif anak-anak syarikat kumpulan itu.
Dalam pada itu, Datuk Zulfikri berkata, antara pencapaian utama ialah kejayaan MARA Corp mengurangkan kerugian terkumpul secara signifikan daripada RM862.1 juta pada 2023 kepada unjuran RM49.7 juta menjelang akhir 2026.
Beliau menambah, MARA turut memperkemas pendekatan pelaburan berasaskan nilai bagi memastikan pengagihan modal yang optimum serta pulangan mampan merentasi portfolio.
Selain itu, MARA Corp merangka pelaburan strategik berjumlah RM2.2 bilion menerusi tiga inisiatif utama iaitu pembangunan hartanah berimpak tinggi, inisiatif kredit karbon patuh Syariah dan pembangunan masa depan di Pulau Indah, Selangor.
Bagi pembangunan hartanah, tiga projek dikenal pasti iaitu Signal Hill di Kota Kinabalu, Ampangan di Negeri Sembilan dan Jalan Maktab di Kuala Lumpur, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan cek berjumlah RM25.2 juta daripada MARA Corp kepada kumpulan MARA serta pelancaran Coffee Table Book Sektor Kewangan Korporat.
Zulfikri (tengah) menyaksikan penyerahan chek dari Dr Azmi Amat Murjan (kanan) kepada Amir Azhar Ibrahim.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, bagi tempoh 2024-2025, MARA melalui anak-anak syarikatnya mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus iaitu daripada RM1.53 bilion (2024) kepada RM1.69 bilion (2025). Sementara itu, MARA melalui 12 anak syarikatnya yang berstatus komersial menyaksikan lonjakan 10 kali ganda hasil iaitu dari RM1.026 bilion berbanding RM917.26 juta pada tahun 2024. #malaysiatribune#beritasemasa#MARA