Walau tersingkir, Iran tetap menang di hati penyokong
TEHRAN – Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menzahirkan penghargaan terhadap skuad bola sepak kebangsaan negara itu atas semangat juang tinggi yang dipamerkan pada Piala Dunia 2026, meskipun berdepan tekanan yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
Baghaei berkata, persembahan Iran yang mencatat keputusan seri dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan sebagai bukti ketahanan pasukan tersebut, walaupun gagal melangkah ke pusingan kalah mati.
“Tahniah kepada pasukan bola sepak kebangsaan Iran yang bersatu sebagai satu pasukan, mengejar ‘gol’ dan tidak membenarkan tekanan tidak berperikemanusiaan serta luar biasa menghalang mereka daripada terus ‘berlari’,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Beliau berkata, dalam suasana penuh tekanan yang diselubungi pemikiran sempit, diskriminasi dan pelbagai sekatan, skuad negara itu tetap membuktikan bahawa kekuatan sebenar terletak pada keupayaan mengatasi mentaliti menyerah kalah dan putus asa.
Menurut Baghaei, pasukan tersebut tidak menjadikan sebarang keterbatasan sebagai alasan untuk mengendurkan perjuangan di atas padang.
“Mereka berani mengambil risiko, terus berlari sehingga wisel penamat. Mereka mengekalkan harapan serta semangat di atas padang dengan karakter dan sikap rakyat Iran,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan pasukan itu bukan sekadar diukur melalui keputusan perlawanan, sebaliknya turut memberi impak emosi kepada rakyat Iran.
“Mungkin lebih penting daripada keputusan perlawanan ialah apa yang mereka berikan kepada kami sepanjang tempoh ini iaitu semangat, keterujaan, senyuman dan yang paling utama, peringatan bahawa kita semua mempunyai satu ikatan yang tidak dapat dipisahkan, permata yang amat kita cintai iaitu tanah air bernama Iran,” ujarnya.
Kempen Iran di Piala Dunia 2026 turut dibayangi isu politik serta pelbagai kekangan logistik yang mencabar persiapan pasukan.
Menurut laporan Press TV, skuad Iran terpaksa memindahkan pusat latihan dari Arizona ke Tijuana, Mexico selepas isu visa Amerika Syarikat menjejaskan beberapa pegawai persekutuan dan kakitangan sokongan.
Di bawah syarat visa yang dikenakan, pemain dan pegawai Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat sehari sebelum perlawanan dan perlu meninggalkan negara itu pada hari yang sama selepas aksi tamat.
Iran turut mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung sekatan perjalanan tersebut, namun sekatan itu kekal berkuat kuasa sehingga menjejaskan perjalanan kempen pasukan.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, skuad Iran tetap menamatkan kempen dengan prestasi yang dianggap membanggakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















