SUKAN

Piala Dunia 2026 jadi pentas akhir Ronaldo, Messi?

KUALA LUMPUR – Piala Dunia FIFA 2026 yang membuka tirainya Khamis ini dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia dengan perhatian utama terarah kepada dua legenda, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, yang berpotensi membuat penampilan terakhir di kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu

Kedua-dua pemain itu dijangka terus mencipta sejarah apabila berkemungkinan beraksi dalam edisi keenam Piala Dunia sepanjang karier mereka, sekali gus meletakkan nama dalam kelompok pemain paling lama beraksi dalam kejohanan tersebut.

Messi, 38, yang membantu Argentina merangkul kejuaraan dunia ketiga pada edisi 2022 di Qatar kini memegang rekod penampilan terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dengan 26 perlawanan.

Kapten Argentina itu terus dianggap sebagai simbol kejayaan generasi emas negaranya selepas memainkan peranan penting dalam membawa skuad La Albiceleste muncul juara dunia.

Dalam pada itu, Ronaldo, 41, masih memburu impian menjulang trofi Piala Dunia pertama bersama Portugal selepas sekian lama menjadi tonggak utama skuad kebangsaan negara berkenaan di pentas antarabangsa.

Kedua-dua pemain itu turut berpeluang mencatat sejarah sebagai pemain pertama yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia sejak membuat penampilan sulung pada kejohanan yang berlangsung di Jerman pada tahun 2006.

Portugal sebelum ini pernah melahirkan ramai pemain bertaraf dunia serta mencatat pencapaian terbaik mara ke separuh akhir pada edisi 1966 dan 2006, namun masih belum berjaya menjulang trofi kejuaraan dunia.

Selain Argentina dan Portugal, Brazil, Jerman, Perancis, Sepanyol serta England turut dilihat sebagai antara pencabar utama bagi merebut trofi Piala Dunia 2026.

Edisi kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya melibatkan 48 pasukan, sekali gus menjadikannya kejohanan terbesar dalam sejarah Piala Dunia menerusi format baharu yang membabitkan 12 kumpulan.

Kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu juga menyaksikan peningkatan jumlah perlawanan kepada 104 aksi sepanjang tempoh 39 hari, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada negara-negara lain untuk bersaing di pentas bola sepak dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button