SUKAN

Enzo mohon maaf selepas dilayangkan kad merah final Piala Dunia

NEW JERSEY – Bintang Argentina, Enzo Fernandez memohon maaf kepada penyokong Albiceleste selepas dilayangkan kad merah ketika aksi final Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol yang menyaksikan pasukannya tewas 1-0.

Pemain tengah Chelsea itu terpaksa meninggalkan padang pada separuh masa kedua selepas menerima kad kuning kedua, sekali gus menjadi pemain keenam dalam sejarah yang dibuang padang pada aksi final Piala Dunia.

Fernández dilihat mengangkat kedua-dua tangannya ke arah penyokong Argentina sebagai tanda meminta maaf ketika berjalan menuju ke lorong pemain di Stadium MetLife, New Jersey.

Insiden itu berlaku pada masa kecederaan minit ke-90+2 selepas beliau melakukan pelanggaran terhadap pemain Sepanyol, Pau Cubarsí.

Kad kuning pertama yang diterimanya pula diberikan susulan pertikaian dengan pengadil perlawanan.

Berdasarkan peraturan baharu, Video Bantuan Pengadil (VAR) mempunyai kuasa menyemak keputusan kad kuning kedua sekiranya terdapat kemungkinan keputusan berkenaan tidak tepat.

Bagaimanapun, semakan VAR dalam insiden itu dilakukan dengan pantas sebelum mengesahkan keputusan pengadil untuk melayangkan kad merah.

Argentina yang berusaha mencari gol penyamaan selepas ketinggalan terus gagal mengubah keputusan perlawanan apabila jaringan Ferran Torres memastikan Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia 2026.

Keputusan itu turut dicemari insiden tegang selepas wisel penamat apabila pemain kedua-dua pasukan terbabit dalam pertelingkahan fizikal.

Pemain Argentina, Leandro Paredes dan pemain Sepanyol, Eric Garcia antara yang terlibat dalam pergeseran selepas perlawanan, sekali gus meninggalkan kenangan pahit selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button