BERITA SEMASASUKAN

Jurulatih Itali akui hati remuk lihat kesengsaraan di Gaza

Itali dijadual bertemu Israel dalam kelayakan Piala Dunia minggu depan

MILAN – Jurulatih pasukan Itali, Gennaro Gattuso mengakui hatinya remuk melihat perang yang sudah berlarutan selama dua tahun di Gaza.

Beliau bagaimanapun berkata, Itali masih perlu berhadapan pasukan Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Udine, Rabu depan, walaupun terdapat desakan supaya perlawanan tersebut dibatalkan.

“Kami tahu kami perlu bermain kerana jika tidak, kami akan kalah 3-0… Tapi saya ulang sekali lagi, amat menyedihkan melihat apa yang berlaku kepada orang tidak berdosa, khususnya kanak-kanak. Hati saya sangat terluka melihat semua itu,” kata Gattuso.

Jualan tiket bagi perlawanan itu juga dilaporkan perlahan, dengan banyak ruang kosong dijangka kelihatan di Stadium Bluenergy yang akan menjadi tumpuan kawalan keselamatan besar-besaran.

“Suasananya pasti tidak mudah kerana akan ada sekitar 10,000 orang di luar stadium dan hanya 5,000 hingga 6,000 di dalamnya

“Kami mahu layak ke Piala Dunia dan saya lebih suka bermain di tempat sendiri di hadapan penyokong yang bersemangat seperti di Bergamo (ketika menang 5-0 ke atas Estonia) sebulan lalu,” katanya lagi.

Itali dijadual menentang Estonia di Tallinn Ahad ini, sebelum berhadapan pasukan Israel di halaman sendiri.

September lalu, Itali menewaskan Israel 5-4 dalam perlawanan tegang yang berlangsung di Hungary iaitu negara yang menjadi gelanggang tuan rumah kepada pasukan Israel sejak serangan ketenteraan ke atas Gaza dilancarkan selepas insiden 7 Oktober 2023.

Dalam perlawanan yang diadakan di bandar Debrecen pada 8 September itu, sekumpulan kecil penyokong Itali dilaporkan membelakangkan padang ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan, manakala sebahagian penyokong lain turut mengejek dan mempamerkan kain rentang bertulis ‘stop’.

Pasukan Azzurri yang gagal layak ke dua edisi terakhir Piala Dunia, kini berada di tangga kedua Kumpulan I dengan sembilan mata sama seperti Israel dan enam mata di belakang pendahulu kumpulan, Norway, namun mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button