LUAR NEGARA

Gaza adakan pilihan raya pertama selepas 20 tahun

GAZA – Penduduk Gaza mengadakan pilihan raya pertama mereka dalam tempoh 20 tahun semalam, namun tanpa penyertaan Hamas.

Menurut laporan The National, kumpulan pejuang Palestin itu terus berdepan tekanan antarabangsa untuk melucutkan senjata dan menyerahkan kuasa susulan perang berpanjangan dengan Israel.

Pilihan raya perbandaran itu berlangsung di Deir Al Balah, antara kawasan di Gaza yang sebahagian besarnya terselamat daripada kemusnahan besar akibat pengeboman Israel dan diadakan serentak dengan pilihan raya majlis tempatan di Tebing Barat yang diduduki.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem mengesahkan bahawa kumpulan itu tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan.

Ini merupakan pilihan raya pertama di Gaza sejak 2006 apabila Hamas memenangi pilihan raya legislatif Palestin sebelum mengambil alih wilayah itu susulan perang saudara dengan parti Fatah yang dipimpin Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas.

Pilihan raya kali ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha PA untuk mengintegrasikan semula Gaza ke dalam pentadbiran Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Penganalisis politik Palestin, Sadeq Abu Ammar berkata, desakan mengadakan pilihan raya bertujuan menunjukkan kesatuan wilayah dan politik Palestin selepas konflik berpanjangan.

Seramai kira-kira 70,000 pengundi layak mengundi di 12 pusat pengundian yang dibuka di Deir Al Balah.

Walaupun Hamas tidak bertanding secara rasmi, sebahagian calon dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan itu dan berpotensi mengekalkan pengaruh politik sekiranya memenangi kerusi dipertandingkan.

Perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober tahun lalu menyaksikan Hamas kini hanya menguasai kurang daripada separuh Gaza, manakala selebihnya berada di bawah kawalan Israel.

Hamas juga berdepan tekanan berterusan untuk menyerahkan senjata di bawah perjanjian yang diselia sebuah Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Presiden AS, Donald Trump.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut meluluskan resolusi menyokong pelucutan senjata Hamas selain cadangan penubuhan pentadbiran teknokrat dan pasukan antarabangsa di Gaza.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan mereka tidak akan melucutkan senjata selagi tentera Israel masih berada di wilayah itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button