Aminuddin gesa pengundi nilai prestasi, bukan sentimen menjelang hari pengundian Sabtu ini
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian kerajaan negeri dan kualiti calon, bukannya dipengaruhi sentimen agama atau perkauman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Beliau berkata, PH tampil berbeza dalam kempen kali ini apabila mengetengahkan laporan prestasi pentadbiran sebagai asas untuk dinilai pengundi.
“Sepatutnya kita bertanding dengan rekod prestasi, bukannya sentimen agama dan perkauman. Kita ada rekod untuk dinilai rakyat,” katanya ketika berucap pada Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Betaria Business Centre, di sini malam ini.
Menurut Aminuddin, PH turut mempertaruhkan barisan calon yang mempunyai pelbagai latar belakang profesional termasuk tokoh akademik, agamawan, bekas ahli Exco, tokoh korporat dan aktivis masyarakat.
Beliau berkata, calon-calon itu bukan sahaja berpengalaman malah sentiasa turun padang membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Kita ada bekas Exco pertanian, kita ada pasukan yang baik. Di Paroi, kita ada anak muda yang hari-hari bekerja bersungguh-sungguh, bukannya dilantik jadi wakil rakyat hilang, susah nak jumpa.
“Kita ada Ustaz Alif di Kota yang mengajar anak-anak dan ibu ayah, sentiasa bekerja untuk rakyat. Ini antara usaha kita mengangkat martabat ummah,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan politik kebencian yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan.
“Kalau mahu bertanding, bawalah tawaran kepada rakyat, bukan memainkan sentimen yang boleh memecahkan perpaduan,” katanya.
Beliau turut meminta penyokong PH menyampaikan kepada pengundi bahawa gabungan itu memperjuangkan kebajikan semua kaum tanpa mengabaikan kepentingan orang Melayu dan Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















