Pemain legenda England, Kevin Keegan meninggal dunia
LONDON – Bekas kapten dan pengurus England, Kevin Keegan, meninggal dunia pada usia 75 tahun, tujuh minggu selepas mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser tahap empat.
BBC yang memetik kenyataan keluarga berkata, mendiang menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani isteri serta anak-anak perempuannya.
“Kevin, pemenang Ballon d’Or sebanyak dua kali, adalah seorang suami, bapa dan datuk yang amat disayangi.
“Keluarga turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang memberikan sokongan luar biasa sepanjang rawatannya. Ini merupakan tempoh yang amat sukar buat kami dan kami memohon ruang serta privasi,” kata kenyataan itu.
Antara pemain bola sepak England paling berjaya, mendiang pernah beraksi bersama Scunthorpe United, Liverpool, Hamburg, Southampton dan Newcastle United sepanjang karier cemerlangnya.
Selepas bersara sebagai pemain, beliau meneruskan kerjaya sebagai pengurus Newcastle United, Fulham, skuad kebangsaan England dan Manchester City.
Keegan mendedahkan pada Jun lalu bahawa beliau menghidap kanser tahap empat, iaitu peringkat paling serius apabila penyakit itu telah merebak ke bahagian lain tubuh.
Keluarganya sebelum ini memaklumkan pada Januari bahawa beliau sedang bertarung dengan penyakit berkenaan selepas menjalani pemeriksaan lanjut susulan simptom berterusan pada bahagian abdomen ketika menerima rawatan di hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








