BERITA SEMASA

Jalaluddin nafi agih wang, tegaskan hanya edar ‘button badge’ kempen

JELEBU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau mengagihkan wang kepada pengundi ketika sesi tinjauan mesra di Kampung Bemban, di sini.

Sebaliknya, Jalaluddin menjelaskan objek yang diserahkan kepada orang ramai adalah button badge atau pin berkarikatur dirinya yang merupakan sebahagian daripada bahan kempen pilihan raya.

Beliau berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video di media sosial dengan dakwaan kononnya beliau memberi wang kepada pengundi.

“Ini tidak benar sama sekali dan saya anggap satu fitnah. Jika mahu digunakan sebagai modal kempen, hentikanlah,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Jalaluddin yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan melahirkan rasa kesal terhadap penyebaran dakwaan itu, sambil mengingatkan semua pihak supaya berkempen secara berhemah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan isu membabitkan PDM BN di DUN Klawang yang didakwa tidak beroperasi telah diselesaikan.

Menurutnya, dakwaan bahawa jentera UMNO di DUN Klawang tidak membantu calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais, juga telah ditangani.

“Jentera BN akan digerakkan bagi membantu calon PN. Semua sudah diselesaikan, kita hanya perlu fokus untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau menegaskan keutamaan kini adalah memperkukuh kerjasama antara jentera parti dan memastikan usaha berkempen berjalan lancar bagi menghadapi hari pengundian PRN Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button