
Dakwaan PH sedia korban kerusi untuk BN hanya spekulasi
KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai kesediaan parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk mengorbankan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah spekulasi semata-semata.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, masih tiada pengumuman atau keputusan mengenai perkara itu di peringkat pucuk pimpinan parti.
Beliau bagaimanapun berkata, rundingan mengenai pengagihan kerusi dalam PRN itu masih berjalan dan dibincangkan oleh jawatankuasa di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
“Buat masa ini saya tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara ini. Kita (Kerajaan Perpaduan) mempunyai saluran sesuai untuk membincangkan tentang agihan kerusi.
“Sehingga kini, selagi tiada pengumuman, saya boleh anggap ia hanya bersifat spekulasi sahaja kerana perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya selepas Majlis Apresiasi Pengamal Media anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital, malam tadi.
Terdahulu, Fahmi menyantuni kira-kira 400 pengamal media dan memberi sumbangan kepada kumpulan wartawan veteran.
Portal berita FMT sebelum ini melaporkan DAP dan PKR sedia untuk mengorbankan beberapa kerusi yang disandang untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam PRN Selangor.
Antara calon BN yang dikatakan tersenarai untuk mendapat ‘tiket’ mudah menang di kerusi selamat itu adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sumber FMT juga mendakwa sekurang-kurangnya lima kerusi akan dikorbankan PH kepada calon BN untuk dalam usaha untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








