POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Golongan muda nilai calon berdasarkan kerja, bukan janji politik – Dr Dzulkefly

REMBAU – Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa golongan muda khususnya pengundi baharu supaya menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan dan keikhlasan bekerja untuk rakyat, bukannya sekadar janji politik.

Beliau berkata, pengundi Gen Z mempunyai citarasa dan penilaian tersendiri serta tidak lagi terikat dengan kesetiaan kepada mana-mana parti, justeru setiap calon perlu membuktikan komitmen melalui khidmat yang konsisten di lapangan.

prn negeri sembilan
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bersama calon DUN Kota, Ustaz Alif Ibrahim (kiri) pada pertandingan futsal di Komplek Futsal Sungai Layang, Rembau hari ini. – Foto Khadjah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Menurutnya, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Alif Ibrahim merupakan antara individu yang aktif menjalankan kegiatan kemasyarakatan sejak sebelum tempoh kempen lagi.

“Sejujurnya saya tahu mereka mempunyai cita rasa sendiri, nilai sendiri dan tidak ada kesetiaan kepada mana-mana parti.

“Tetapi saya mahu mereka terbuka untuk memerhatikan bagaimana setiap calon dan parti bekerja. Macam Ustaz Alif, dia sudah ada sejak awal lagi turun menjalankan kegiatan kemasyarakatan.

“Bukan sekadar bercakap, tetapi menjalankan tugas secara konsisten dan sentiasa bersama rakyat. Itu yang menjadi ukurannya,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menghadiri Program Pertandingan Futsal DUN Kota Tertutup di Kompleks Futsal Sungai Layang, di sini hari ini.

Menurut beliau, anak-anak muda ini tahu serba sedikit tentang apa yang kerajaan negeri buat dan kepada setiap calon itu, dia memerhatikan kerja kuat mereka.

“Inilah masanya mereka (anak muda) akan memerhatikan kita. Yang mustahaknya kita kerja dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan semangat setia kawan,” tegasnya.

Tambah Dr Dzulkefly, beliau sudah beberapa hari turun berkempen sejak hari penamaan calon di Negeri Sembilan termasuk di Kuala Klawang, Paroi dan Lenggeng sebelum kembali bersama Ustaz Alif menyantuni penduduk di DUN Kota.

Katanya, pada sebelah pagi beliau bersama calon berkenaan menghadiri program bersama jemaah di Masjid Kariah Kampung Batu sebelum menyertai pertandingan futsal yang menghimpunkan 16 pasukan dari kampung-kampung sekitar DUN tersebut.

Menurut beliau, penganjuran program sukan seperti futsal dan sepak takraw mampu memupuk semangat setiakawan, persahabatan serta menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan belia.

“Hari ini kita mahu menyantuni anak-anak muda, khususnya Gen Z. Semalam kita bersama mereka dalam pertandingan sepak takraw, hari ini pula futsal yang disertai 16 pasukan dari kampung-kampung.

“Saya berharap program seperti ini dapat menjalinkan rasa setiakawan, persahabatan, semangat kesukanan serta menggalakkan hidup cergas dan aktif dalam kalangan remaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi memberikan sokongan padu kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menurutnya berjaya memacu pembangunan negeri dengan baik.

“Saya melihat sendiri sambutan rakyat di kampung, taman perumahan, masjid, surau dan program seperti ini sangat menggalakkan.

“Saya berharap kali ini lebih ramai rakyat dan pengundi memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button