SUKAN

Rekod Argentina beri kelebihan psikologi buat England

ATLANTA – Rekod Argentina ketika menentang bekas juara dunia dijangka menjadi suntikan keyakinan buat England menjelang pertembungan separuh akhir Piala Dunia di Atlanta awal pagi Khamis ini.

Skuad La Albiceleste tidak pernah menewaskan mana-mana bekas juara dunia dalam tempoh permainan biasa atau masa tambahan sejak menundukkan Brazil 1-0 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 1990.

Statistik itu menjadikan England, yang muncul juara dunia pada 1966, memiliki kelebihan psikologi menjelang aksi yang dianggap antara perlawanan terbesar dalam kejohanan kali ini.

Lionel Messi dan rakan sepasukan bakal turun dengan misi mempertahankan kejuaraan dunia, selain memburu gelaran Piala Dunia kedua berturut-turut.

Perlawanan itu juga merupakan aksi pertama bintang Inter Miami berkenaan berdepan England sepanjang kariernya di pentas antarabangsa.

Kemenangan terakhir Argentina ke atas bekas juara dunia dalam masa permainan biasa dicatatkan menerusi jaringan Claudio Caniggia hasil hantaran Diego Maradona ketika menewaskan Brazil pada edisi 1990.

Pada kejohanan sama, Argentina menyingkirkan Itali menerusi penentuan penalti di separuh akhir sebelum tewas 0-1 kepada Jerman Barat pada perlawanan akhir.

Selepas itu, mereka tewas kepada Jerman dalam tiga edisi berturut-turut iaitu menerusi penentuan penalti pada suku akhir 2006, kalah 0-4 pada suku akhir 2010 dan tunduk 0-1 selepas masa tambahan pada final 2014.

Argentina turut tersingkir kepada Perancis pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2018 sebelum menewaskan pasukan itu pada final 2022, namun kemenangan tersebut juga hadir menerusi penentuan penalti.

Ketika menentang England, Argentina menang menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 1998 tetapi tewas 0-1 pada peringkat kumpulan edisi 2002.

Secara keseluruhan, Argentina telah mengharungi 10 perlawanan menentang bekas juara dunia sejak 1990 dengan hanya satu kemenangan dalam masa permainan biasa.

Empat lagi kemenangan diraih menerusi penentuan penalti manakala lima perlawanan berakhir dengan kekalahan.

Rekod berkenaan pastinya memberi harapan kepada England untuk mara ke final, jika mereka tidak membiarkan perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button