LUAR NEGARA

Pasport edisi khas sempena ulang tahun kemerdekaan papar potret Trump

WASHINGTON – Amerika Syarikat akan mengeluarkan pasport edisi khas yang memaparkan potret Presiden Donald Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan negara itu dalam jumlah terhad pada Julai ini.

Menurut laporan awal oleh Fox News, pengeluaran pasport khas tersebut adalah sebahagian daripada siri sambutan besar-besaran ulang tahun bersejarah itu.

Seorang pegawai pentadbiran mengesahkan kepada BBC bahawa reka bentuk baharu itu akan ditawarkan kepada mana-mana warganegara Amerika yang memohon pasport apabila pelancarannya bermula dan ia akan terus tersedia selagi stok masih ada.

Bagaimanapun, pasport edisi peringatan itu hanya boleh diperoleh di Agensi Pasport Washington.

Berdasarkan lakaran yang dikeluarkan Jabatan Negara AS, imej Trump dipaparkan bersama teks Deklarasi Kemerdekaan, bendera AS serta tandatangan presiden itu dalam warna emas.

Jurucakap White House berkata, reka bentuk pasport patriotik baharu itu memberi peluang kepada rakyat Amerika untuk turut serta dalam sambutan ulang tahun ke-250 negara mereka.

“Presiden Trump terus memimpin usaha memperbaharui semangat kebanggaan nasional dan patriotisme sepanjang sambutan bersejarah ini,” katanya.

Selain pasport khas, pentadbiran Trump turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain yang mengaitkan nama serta imej beliau dengan program kerajaan dan bangunan awam.

Antaranya termasuk rancangan US Mint untuk mengeluarkan syiling emas peringatan yang menampilkan Trump sempena ulang tahun tersebut, selain beliau dijangka menjadi presiden AS pertama yang masih memegang jawatan untuk mempunyai tandatangannya pada wang kertas negara itu.

Ketika ini, pasport AS memaparkan pelbagai simbol dan peristiwa penting sejarah negara seperti pendaratan di bulan serta Patung Liberty.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button