AS puji kepimpinan PM Anwar usahakan gencatan senjata
KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) memuji peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai orang tengah dalam memeterai persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan positif itu dan menghargai kepimpinan Malaysia dalam menjayakan rundingan damai berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Negara AS semalam.
Rubio turut menggesa kedua-dua negara terbabit agar mematuhi sepenuhnya komitmen yang dipersetujui bagi menamatkan konflik serta mengelakkan ketegangan lanjut di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan.
“Presiden Donald Trump dan saya komited untuk menghentikan keganasan serta-merta dan kami menjangkakan kerajaan Thailand serta Kemboja menunaikan sepenuhnya komitmen mereka dalam perkara itu,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan AS akan terus komited dan terlibat secara aktif dalam proses yang dianjurkan bersama dengan Malaysia demi memastikan penyelesaian damai dapat dicapai.
“Kami menggesa semua pihak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin,” tegas beliau.
Terdahulu, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN telah diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Mesyuarat itu menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai serta berlangsung selama hampir dua jam setengah bermula pukul 3 petang semalam.
Pertemuan itu merupakan perjumpaan secara bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak ketegangan memuncak pada Khamis lalu susulan insiden sempadan.
Turut hadir, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
AS bertindak selaku penganjur bersama mesyuarat tersebut manakala China hadir sebagai pemerhati untuk menyokong usaha damai.
Dalam sidang media bersama selepas mesyuarat, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, sekali gus meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam pertikaian diplomatik membabitkan kawasan sepanjang 817 kilometer sempadan yang belum sepenuhnya ditanda.
Ketegangan mula memuncak sejak 28 Mei lalu susulan pertempuran di kawasan sempadan berhampiran Preah Vihear yang menyaksikan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








