Pembelian Boeing diumum sebelum tarif baharu AS, bukan tindakan reaktif – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR – Rancangan pembelian 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) telah diumum lebih awal, lama sebelum Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan tarif baharu ke atas barangan import.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan pembelian itu merupakan pelaburan strategik yang dirancang rapi serta dibiayai sepenuhnya oleh dana syarikat, tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan.
Menurut beliau, rancangan pembelian tersebut telah diumumkan seawal Mac 2025 iaitu sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan sebarang tarif baharu terhadap barangan import.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila AS mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan defisit dagangan, maksudnya kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding apa yang kita beli daripada mereka.
“AS cuba kurangkan defisit itu dengan menaikkan tarif sehingga 25 peratus,” katanya menerusi hantaran di platform X, semalam.
Tambah Tengku Zafrul, Malaysia mengambil peluang dalam perundingan dengan menyenaraikan semua pembelian besar oleh syarikat-syarikat tempatan dari AS termasuk tempahan pesawat Boeing oleh MAG.
“Kita bukan beli pesawat semata-mata untuk kurangkan tarif tetapi ia antara pembelian yang memang dirancang lebih awal. Langkah itu menunjukkan bahawa Malaysia juga pembeli besar produk AS,” katanya.
Langkah itu, ujar beliau, turut membantu meyakinkan Washington untuk menurunkan kadar tarif eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
“Ini adalah strategi perundingan yang teliti dan bijak, memastikan kepentingan syarikat serta negara terus terpelihara,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu mengumumkan MAG telah membuat tempahan sebanyak 30 unit pesawat Boeing 737 yang dijadualkan dihantar secara berperingkat menjelang tahun 2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








