BERITA SEMASA

Tolak kedatangan Presiden AS bertentangan dengan maqasid syariah – Mufti Wilayah

PUTRAJAYA – Pendekatan menolak secara total terhadap kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat bertentangan dengan prinsip hifz al-amn (memelihara keamanan) dan maqasid al-‘umran (pembangunan tamadun) dalam maqasid syariah.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, tindakan ekstrem atau boikot secara mutlak bukan sahaja boleh mencalar reputasi Malaysia di arena antarabangsa tetapi juga membuka ruang terhadap sekatan ekonomi, tekanan diplomatik atau pembalasan dasar dari AS.

Katanya, tekanan yang bakal dihadapi negara termasuk melibatkan kebajikan serta keselamatan para pelajar, pekerja, rakyat Malaysia yang bermastautin dan komuniti dakwah di AS.

“Sementara daripada perspektif fiqh al-mīzān, keputusan kerajaan menerima kunjungan tersebut haruslah berasaskan timbang tara antara maslahat dan mudarat, menegakkan amanah mentadbir negara demi kepentingan rakyat.

“Malaysia juga amat konsisten dalam menzahirkan solidariti terhadap Palestin melalui diplomasi antarabangsa, kenyataan kerajaan dan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam Tinta Mufti Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, katanya, menerima kunjungan Presiden AS bukan bermaksud merestui dasar luar AS, tetapi memanfaatkan platform diplomatik untuk menyampaikan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin di hadapan pemimpin dunia.

“Kedatangan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia harus dinilai secara holistik dan berasaskan prinsip syariah serta maslahat ummah.

“Penolakan mutlak atas dasar emosi tidak menjamin kebaikan, malah boleh menambah risiko kepada negara dan umat Islam.

“Sebaliknya, menerima kunjungan beliau dengan syarat, kawalan dan niat diplomatik yang wajar membuka peluang memperkukuh hubungan antarabangsa, menarik pelaburan dan memberi ruang kepada Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin,” katanya.

donald trump
Donald Trump

Sementara itu katanya, ijtihad itu dibuat hasil timbangan maslahah dan mafsdah yang ditentukan oleh pemerintah dan ahli ilmu.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu membentuk dasar diplomatik yang seimbang, matang dan berpandukan syariah sekaligus menzahirkan solidariti Malaysia terhadap umat Islam Palestin dan mendesak AS untuk menghentikan sokongan terhadap kezaliman Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button