Trump sahkan lawat Malaysia, Jepun, Korea Selatan
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam masa terdekat.
Trump dalam kenyataannya semalam sekali lagi menzahirkan nada optimis menjelang kemungkinan pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping minggu depan di Korea Selatan sambil menegaskan hasratnya untuk terus “bersikap baik terhadap China”, lapor BERNAMA yang memetik agensi berita Kyodo.
“Kami akan mengadakan perjanjian yang adil. Saya mahu bersikap baik terhadap China. Saya amat menghargai hubungan saya dengan Presiden Xi,” kata Trump di Rumah Putih ketika sesi panjang bersama wartawan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
“Kami fikir itu tempat yang sesuai untuk bertemu, dan kami akan bertemu. Saya akan berada di Malaysia, saya akan berada di Jepun,” katanya.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Xi apabila kedua-dua mereka berada di Korea Selatan bagi menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik, akhir Oktober ini.
Bagaimanapun, ini adalah kali pertama Trump secara terbuka menyebut rancangan lawatan beliau ke Malaysia dan Jepun namun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai butiran lawatan itu.
Sumber kerajaan Jepun memaklumkan, Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun mulai 27 Oktober selepas menghadiri persidangan serantau di Malaysia yang turut disertai negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan sekutunya.
Selepas lawatan ke Jepun, Trump akan meneruskan perjalanan ke Korea Selatan, menurut sumber berkenaan.
Lawatan Asia yang bakal berlangsung itu adalah yang pertama sejak beliau memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








