LUAR NEGARA

Mahkamah arah nama Trump dibuang dari Kennedy Center

WASHINGTON – Mahkamah Amerika Syarikat mengarahkan nama Presiden Donald Trump dibuang daripada pusat seni terkenal, Kennedy Center selepas memutuskan penukaran nama institusi itu tidak boleh dilakukan tanpa kelulusan Kongres.

Menurut laporan BBC News, Hakim Daerah Washington DC, Christopher Cooper turut menghalang rancangan penutupan sementara pusat seni berkenaan bagi kerja pengubahsuaian besar-besaran yang dijadual bermula Julai ini.

Menerusi keputusan itu, nama Trump perlu ditanggalkan daripada bangunan, papan tanda fizikal dan digital serta semua bahan rasmi pusat seni berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Sebelum ini, Trump menjenamakan semula institusi itu kepada ‘The Donald J Trump and John F Kennedy Memorial Center for the Performing Arts’ selepas mengambil alih kepimpinan lembaga pusat berkenaan pada tahun lalu.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi termasuk bantahan beberapa ahli lembaga dan bekas pemegang amanah yang mendakwa perubahan dibuat secara unilateral tanpa kuasa undang-undang.

Menurut hakim, hanya Kongres mempunyai kuasa untuk menukar nama rasmi Kennedy Center yang diwujudkan pada 1971 bagi memperingati Presiden John F Kennedy yang dibunuh pada 1963.

“Undang-undang jelas menyatakan pusat itu dinamakan sempena Presiden Kennedy dan tidak boleh menggunakan nama lain tanpa kelulusan Kongres,” katanya dalam penghakiman setebal 94 muka surat.

Jurucakap Kennedy Center memaklumkan pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, manakala Trump menerusi Truth Social berkata beliau akan bekerjasama dengan Kongres untuk ‘mengembalikan semula’ institusi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button