Tidak sebulu dengan Trump: Elon Musk tubuh Parti Amerika
WASHINGTON – Bekas penasihat Presiden Amerika Syarikat, Elon Musk, mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu dikenali sebagai Parti Amerika.
Musk menyifatkan pentadbiran negara kini gagal mencerminkan prinsip demokrasi sebenar, sebaliknya terjerat dalam budaya pembaziran dan salah guna kuasa.
“Apabila melibatkan pembaziran dan ketirisan dalam pentadbiran, kita sebenarnya hidup di bawah sistem satu parti bukan demokrasi,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurutnya, Parti Amerika ditubuhkan sebagai usaha mengembalikan kebebasan kepada rakyat dan membuka ruang kepada pilihan politik yang lebih telus serta berkesan.
Pengumuman tersebut dibuat susulan satu tinjauan pendapat yang dijalankannya sehari sebelum itu, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan AS.
Tinjauan tersebut menerima lebih 1.2 juta maklum balas, dengan majoriti responden menyokong penubuhan parti baharu sebagai alternatif kepada sistem dua parti yang digelar sesetengah pihak sebagai uniparti.
“Dengan nisbah dua lawan satu, rakyat mahukan perubahan. Parti politik baharu akan diwujudkan dan ia bermula hari ini,” ujarnya.
Perkembangan berkenaan mengesahkan ketegangan yang kian memuncak antara kedua-dua tokoh berpengaruh itu.
Ketegangan tercetus selepas Musk secara terbuka mengkritik rang undang-undang perbelanjaan kerajaan One Big Beautiful Bill yang disokong Trump dan beberapa ahli Republikan.
Penolakan Musk terhadap rang undang-undang itu berpunca daripada unjuran defisit sebanyak AS$3.4 trilion (kira-kira RM14.4 trilion) dalam tempoh sedekad seperti dinyatakan pakar.
Susulan kritikan itu, Trump dilaporkan mengugut untuk menarik balik sokongan dan dana kerajaan terhadap syarikat-syarikat milik Musk seperti SpaceX dan Tesla.
Hubungan antara kedua-dua tokoh itu sebelum ini dilihat rapat, khususnya ketika Musk dilantik mengetuai dasar kecekapan kerajaan di bawah pentadbiran Trump.
Namun, perbezaan pendirian terhadap dasar fiskal dan hala tuju perbelanjaan kerajaan menjadi punca utama keretakan hubungan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


















One Comment