Pelajar minta bantuan urus pengebumian bayi selepas bersalin di tandas asrama
DUNGUN – Permintaan seorang pelajar perempuan kepada pengurusan sebuah masjid untuk membantu menguruskan pengebumian bayinya membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki di sebuah kolej di daerah ini, malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada pukul 10.48 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi berkenaan di tandas asrama selepas mengalami keguguran.
“Bayi yang dilahirkannya itu dianggarkan berusia lapan bulan. Pelajar itu telah membungkus bayi yang dilahirkannya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan menyimpannya di dalam loker asrama,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Nik Ab Halim berkata, pelajar terbabit kemudiannya menghubungi pihak pengurusan sebuah masjid untuk mendapatkan bantuan menguruskan pengebumian bayi berkenaan.
Bagaimanapun, pihak masjid memaklumkan perkara itu kepada pengurusan kolej sebelum polis menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, polis akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan selain mengambil keterangan daripada saksi berkaitan.
“Mayat bayi dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







