Rakyat masih tanggung beban hutang 1MDB RM51.4 bilion hingga 2039
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia masih menanggung komitmen kewangan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM51.4 bilion sehingga tahun 2039.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy berkata, berdasarkan jawapan rasmi Kementerian Kewangan di Parlimen pada 9 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan telah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 31 Mei 2026.
Bagaimanapun, katanya, tanggungan kewangan itu masih belum berakhir apabila kerajaan masih perlu menanggung RM5 bilion prinsipal serta RM3.9 bilion faedah Sukuk IMTN sehingga tempoh matang pada 2039.
“Ini menjadikan keseluruhan tanggungan sekitar RM51.4 bilion. Persoalannya, siapa yang akhirnya menanggung kos ini? Ia dibayar menggunakan sumber kewangan negara, yang pada akhirnya merupakan wang rakyat dan pembayar cukai,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, jumlah tersebut amat besar dan sekiranya dapat disalurkan kepada keperluan negara, ia boleh memberi manfaat kepada rakyat menerusi pembinaan sekolah dan hospital, pengangkutan awam, perumahan serta bantuan kepada keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Sebaliknya, duit rakyat Malaysia dan pembayar cukai masih perlu digunakan untuk memenuhi hutang, prinsipal dan faedah berkaitan 1MDB sehingga tahun 2039.
“Sebab itu isu ini masih relevan. Kita belum lupa kerana komitmen kewangannya masih ditanggung negara. Kita belum lupa kerana kesannya masih dirasai melalui penggunaan sumber kewangan awam,” katanya.
Sivamalar berkata, isu berkenaan bukan soal dendam politik, sebaliknya berkaitan amanah, akauntabiliti dan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia.
“Mereka yang diberikan kuasa mesti sentiasa ingat bahawa wang negara adalah wang rakyat. Sebarang penyalahgunaan amanah membawa kesan yang akhirnya perlu ditanggung oleh rakyat.
“Rakyat tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung akibat daripada kegagalan mengurus amanah dan kewangan negara,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








