12 lukisan 1MDB bernilai RM140 juta akan dibawa pulang ke Malaysia
KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 lukisan bernilai lebih AS$30 juta (RM140 juta) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi tindakan lanjut pihak berkuasa.
Antara karya terlibat ialah Pablo Picasso L’Ecuyere et les clowns (1961), Joan Miró Composition (1953), William H. Bailey Still Life, Alexander Calder Studies for Sculpture dan Henri Matisse Femme Assise, dengan nilai keseluruhan melebihi AS$30 juta (RM140 juta).
Difahamkan, kerajaan sedang menilai kos serta kaedah logistik paling sesuai bagi memastikan semua karya seni berkenaan dihantar pulang dengan selamat.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, lukisan-lukisan itu memerlukan penjagaan rapi bagi mengekalkan kualiti dan nilai, terutama untuk tujuan penjualan semula.
Menurutnya, persiapan sedang dibuat secara menyeluruh oleh semua pihak terlibat bagi memastikan proses penghantaran berjalan lancar.
“Kami sedang menilai kos dan keperluan logistik untuk membawa pulang lukisan-lukisan bernilai tinggi ini.
“Lukisan-lukisan ini penting kepada kedaulatan negara dan perlu dijaga sebaiknya, termasuk dalam proses membawa pulang ke Malaysia,” katanya memetik laporan BH Online.
Minggu lalu, 12 lukisan bernilai tinggi itu dipersetujui untuk dikembalikan kepada Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1MDB.
Perkara berkenaan dibincangkan dalam pertemuan SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
SPRM memaklumkan, lukisan-lukisan itu dibeli oleh saksi kes penyelewengan 1MDB, Jasmine Loo, dan kini berada di bawah kawalan DOJ Amerika Syarikat.
Difahamkan, kesemua lukisan berkenaan disimpan di rumah lelongan Christie’s dan Sotheby’s di Amerika Syarikat.
Antara karya terlibat ialah Pablo Picasso L’Ecuyere et les clowns (1961), Joan Miró Composition (1953), William H. Bailey Still Life, Alexander Calder Studies for Sculpture dan Henri Matisse Femme Assise, dengan nilai keseluruhan melebihi AS$30 juta (RM140 juta).
Perbincangan dua hala itu diketuai Mohamad Zamri dan turut disertai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.
Mesyuarat bersama FBI di Washington dipengerusikan Ketua Seksyen, Spencer Horn Chris Padurano, manakala sesi di New York dipengerusikan Pembantu Ejen Khas Bertugas, Paul Roberts.
Menurut SPRM, pertemuan tersebut turut bertujuan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh kes penyanyi rap, Pras Michel, yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun di Amerika Syarikat selepas didapati menerima AS$120 juta (RM489 juta), sebahagiannya dikaitkan dengan 1MDB.
DOJ Amerika Syarikat turut memaklumkan masih terdapat aset milik Low Taek Jho atau Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian Amerika Syarikat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








