BERITA SEMASA

Bapa Hayl Haarith mahu ambil tindakan undang-undang susulan kematian bayinya di taska

MARANG – Seorang bapa bertekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab susulan kematian anak lelakinya berusia empat bulan yang didakwa meninggal dunia dalam keadaan tragis ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, pada awalnya dia menyangka kematian anak sulungnya, Hayl Haarith adalah kematian biasa sebelum menyedari terdapat kesan luka pada tubuh bayi itu.

“Saya ingatkan kematian biasa, rupanya anak saya meninggal dalam keadaan sangat tragis,” katanya ketika ditemui di Kampung Kelulut di sini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui keadaan sebenar selepas melihat sendiri keadaan anaknya yang mempunyai beberapa kesan kecederaan.

Mohd Syafaeez yang berniaga santan segar berkata, kali terakhir dia bertemu Hayl Haarith minggu lalu dan ketika itu bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat.

Katanya, dia tinggal di Marang manakala isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, berasal dari Kuala Berang dan bekerja sebagai jururawat di Hospital Seberang Jaya sejak September tahun lalu.

Hospital Seberang Jaya
Insiden tersebut dipercayai berlaku di sebuah taska yang beroperasi di dalam Hospital Seberang Jaya.

“Walaupun berjauhan, saya selalu membuat panggilan video. Semalam pun saya sempat membuat panggilan video sebelum isteri meninggalkan anak kepada pengasuh kerana dia bekerja syif malam.

“Bila saya terima berita awal pagi yang memaklumkan anak meninggal dunia, saya memang terkejut kerana ketika panggilan video dia kelihatan sihat dan ceria,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurutnya, isterinya terlebih dahulu menerima panggilan memaklumkan keadaan bayi yang dikatakan lemah dan sedang tidur sebelum sekali lagi dihubungi pada pukul 5.40 pagi yang memaklumkan anak mereka sudah meninggal dunia.

Namun, selepas melihat keadaan bayi itu, Mohd Syafaeez mendakwa terdapat beberapa kesan luka pada tubuh anaknya termasuk di bahagian kepala.

“Selain luka pada badan, ada kesan di bahagian kepala seperti tisu terkoyak serta kesan pada mata dan hidung, seolah-olah akibat hentakan objek tumpul,” katanya.

Tambahnya, dia sepatutnya ke Pulau Pinang hari ini untuk membeli kelengkapan Aidilfitri buat isteri dan bayi mereka.

“Kami sangat teruja untuk membeli kelengkapan raya untuk anak. Sepatutnya pagi ini saya sudah dalam perjalanan ke sana,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Syafaeez menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas kematian anaknya.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang yang paling setimpal terhadap apa yang berlaku kepada anak saya,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button