BERITA SEMASA

Menteri Kesihatan sampaikan penghargaan kepada jururawat tular santuni warga emas

PERAI – Sikap penuh empati seorang jururawat yang tular di media sosial kerana menyantuni pesakit warga emas berbangsa India akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan penghargaan kepadanya.

Jururawat berkenaan, Nur Deena Nadzhiefa sebelum ini mencuri perhatian ramai selepas sebuah video memaparkan beliau menyuapkan makanan dengan penuh kasih sayang kepada seorang pesakit warga emas itu tular.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Dzulkefly berkata video berkenaan benar-benar menyentuh perasaannya dan mencerminkan nilai ihsan yang tinggi dalam perkhidmatan kesihatan awam.

@malaysiatribune

Seorang jururawat di Hospital Seberang Jaya mencuri perhatian ramai apabila sikap profesionalisme serta keikhlasannya dalam menjalankan tugas menjadi tular di media sosial. #malaysiatribune #beritasemasa #nurse #hospital

♬ Piano, sad, touching, majestic, nature, movie – arachang

“Video tular Jururawat Nur Deena Nadzhiefa menyantuni pesakit warga emas berbangsa India baru-baru ini benar-benar menjentik hati saya.

“Hari ini, di perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, saya bertemu sendiri dengan tuan empunya badan.

“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan.

“Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati.

“Terima kasih saudari Deena kerana menghidupkan jiwa ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Semoga menjadi inspirasi buat kita semua,” katanya.

Hantaran itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang memuji keikhlasan jururawat tersebut serta kepimpinan yang peka terhadap nilai kemanusiaan dalam perkhidmatan awam.

“Bawahan yang penuh empati dan atasan yang penuh kepekaan. Tahniah keduanya,” komen Johari Bohari.

“Terbaik SN Deena. Pahala dapat, penghargaan pun dapat. Semoga menjadi inspirasi bagi semua penjawat awam untuk menyantuni masyarakat tanpa mengira jantina, agama atau bangsa,” tulis Fatim Fatimatto.

“Tahniah. Ramai lagi nurse yang baik hati macam ni. Semoga perkara-perkara sebegini meningkatkan dedikasi pelbagai profesion,” kata Sii Hoe Hua.

Terdahulu, video jururawat di Hospital Seberang Jaya itu tular selepas memaparkan sikap profesionalisme serta keikhlasan Nur Deena Nadzhiefa dalam menjalankan tugas apabila beliau dilihat menyantuni seorang pesakit warga emas dengan penuh empati sekali gus mencerminkan nilai kemanusiaan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button