BERITA SEMASA

Bukan punca warga asing, 85 peratus kes Tibi libat rakyat tempatan – Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR — Penyakit Tuberkulosis (Tibi) kekal sebagai isu kesihatan awam yang serius di Malaysia dengan majoriti kes yang dilaporkan melibatkan rakyat tempatan dan bukannya warga asing seperti yang sering dipersepsikan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menurut data rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 85 peratus kes Tibi yang direkodkan melibatkan rakyat tempatan manakala hanya 15 peratus melibatkan warga asing.

“Statistik ini menafikan tanggapan umum bahawa penularan penyakit tersebut berpunca terutamanya daripada kemasukan warga luar.

“Tibi merupakan penyakit endemik yang telah lama wujud dan berkait rapat dengan faktor sosio-ekonomi, termasuk kesesakan tempat tinggal dan kekurangan zat makanan.

“Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang menyerang paru-paru dan boleh merebak melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Tibi
Gambar hiasan

Walaupun bakteria ini dikenal pasti sebagai sukar dihapuskan katanya, Tibi sebenarnya boleh dicegah dan dirawat sepenuhnya jika dikesan awal.

Katanya, pesakit perlu mematuhi rawatan antibiotik secara konsisten selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi memastikan penyembuhan sepenuhnya dan mengelakkan risiko jangkitan semula atau rintangan ubat.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap gejala awal penyakit, termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam dan penurunan berat badan tanpa sebab jelas.

“Individu yang mengalami gejala tersebut dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

“Selain itu, masyarakat juga diingatkan agar tidak meminggirkan pesakit Tibi, sebaliknya memberikan sokongan emosi dan moral bagi membantu mereka menamatkan rawatan.

“Stigma sosial boleh menjejaskan pematuhan pesakit terhadap rawatan dan meningkatkan risiko penularan dalam komuniti.

Sementara itu katanya, langkah pencegahan turut ditekankan, termasuk memastikan kanak-kanak menerima imunisasi BCG, mengamalkan gaya hidup sihat serta memastikan pengudaraan yang baik di kediaman.

Sementara itu katanya, kerajaan juga komited melalui strategi pengesanan aktif dan kerjasama pelbagai agensi bagi membendung penularan Tibi secara menyeluruh, selaras dengan usaha memperkukuh kesihatan awam negara.

Katanya, kesedaran masyarakat, pengesanan awal dan pematuhan rawatan adalah kunci utama untuk menamatkan endemik Tibi serta melindungi keluarga dan komuniti daripada ancaman penyakit tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button