BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pegawai perubatan, jururawat di Sarawak paling tinggi letak jawatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 259 pegawai perubatan dan 95 jururawat meletak jawatan ketika berkhidmat di fasiliti kesihatan di Sarawak dalam tempoh lima tahun antara 2020 hingga 2024.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kadar kekosongan petugas kesihatan di negeri itu, khususnya dalam kalangan pegawai perubatan adalah lebih tinggi berbanding negeri lain disebabkan pelbagai cabaran termasuk faktor penempatan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, kekurangan jururawat turut berlaku di hampir semua hospital KKM di seluruh negara berikutan jumlah keluaran pelatih daripada Institut Latihan KKM dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih rendah.

“Selain faktor penempatan, ada juga yang berpindah ke sektor swasta atau ke luar negara bagi mencari peluang kerja lebih baik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, semalam.

Dr. Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS–Igan) yang meminta penjelasan berhubung jumlah pegawai perubatan dan jururawat di Sarawak yang meletak jawatan sejak lima tahun lalu serta langkah diambil bagi menampung kekurangan tenaga kerja kesihatan di kawasan luar bandar.

Related Articles

Bagaimanapun menurutnya, jumlah penempatan petugas kesihatan di Sarawak menunjukkan peningkatan berterusan setiap tahun bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Pada 2020, seramai 39 pegawai perubatan dan enam jururawat ditempatkan di negeri itu, diikuti 28 pegawai perubatan dan 13 jururawat pada 2021.

“Jumlah berkenaan meningkat kepada 41 pegawai perubatan dan 17 jururawat pada 2022 serta 68 pegawai perubatan dan 34 jururawat pada 2023 sebelum mencapai jumlah tertinggi pada 2024 dengan 83 pegawai perubatan dan 25 jururawat,” katanya.

Setakat 30 Jun 2025, terdapat 27,209 petugas kesihatan berkhidmat di Sarawak terdiri daripada 685 pakar perubatan; 3,029 pegawai perubatan; 6,479 jururawat; 1,699 jururawat masyarakat serta 15,317 petugas lain daripada pelbagai skim perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, KKM sedang melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menampung kekurangan tenaga kerja di negeri itu, antaranya dengan mewajibkan pegawai perubatan tetap memilih sekurang-kurangnya satu penempatan di Sarawak, Sabah atau Labuan menerusi sistem e-penempatan.

Selain itu, kementerian turut menetapkan kuota penempatan pegawai perubatan tetap lebih tinggi di Sarawak, selain memberi keutamaan kepada anak jati negeri itu untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan tempatan.

Kerajaan juga menetapkan merit tambahan antara 5 hingga 10 peratus bagi permohonan cuti belajar dengan tajaan biasiswa kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.

“KKM turut menempatkan semula 38 jururawat asal Sarawak yang kini bertugas di Semenanjung untuk kembali berkhidmat di negeri itu mulai September 2025, selain melantik 238 jururawat masyarakat yang lulus peningkatan lantikan (PSL) ke jawatan Jururawat Gred U5,” katanya.

Dr. Dzulkefly berkata, kementeriannya akan terus berunding dengan agensi pusat bagi merangka penyelesaian jangka panjang untuk menambah bilangan pegawai perubatan dan jururawat di Sarawak, terutamanya di fasiliti kesihatan luar bandar yang berdepan cabaran besar dari segi logistik dan penempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button