BERITA SEMASA

CUEPACS gesa isu kekurangan doktor diatasi segera

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru kerajaan supaya melakukan siasatan menyeluruh mengenai isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan di hospital kerajaan baru-baru ini.

Seruan berkenaan berkait rapat dengan kejadian tular memaparkan gambar papan putih di sebuah fasiliti kesihatan yang memohon maaf dan memaklumkan mengenai kekurangan doktor.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, perkara tersebut membabitkan isu kebajikan petugas kesihatan itu sendiri serta kemampuan fasiliti kesihatan negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Papan putih di sebuah fasiliti kesihatan yang memohon maaf dan memaklumkan mengenai kekurangan doktor di Hospital Kulim

“CUEPACS tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan ini diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua ketua jabatan memainkan peranan yang penting termasuk menyelesaikan aduan kakitangan dengan sebaik mungkin dalam mengatasi kekurangan petugas kesihatan.

Penyaluran maklumat isu berkenaan kepada pihak atasan di Kementerian Kesihatan (KKM) hendaklah dilakukan sekiranya ketua jabatan tidak dapat menyelesaikannya.

Jelas Adnan, isu berkaitan kekurangan tenaga kerja, kemudahan asas di fasiliti bertugas itu tidak wajar dianggap remeh kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada keseluruhan perkhidmatan kesihatan negara.

“Kita pernah menghadapi situasi di mana penularan COVID-19 sebelum ini hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan negara.

“Pengalaman tersebut sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperkukuhkan lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan di pelbagai peringkat bagi mengelakkan fasiliti kesihatan terpaksa beroperasi tanpa petugas mencukupi sehingga ada yang dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar KKM tidak mengambil sebarang tindakan kepada petugas kesihatan yang menulis nota di papan putih tersebut.

Sebaliknya, perkara itu perlu ditangani dengan positif oleh KKM tanpa mengabaikan keluh kesah yang diutarakan demi memastikan kebajikan penjawat awam tetap diutamakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button