BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

KKM komited perkukuh rawatan dialisis melalui dasar PD-First

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh Dasar PD-First (Peritoneal Dialysis First) dengan menggalakkan rawatan dialisis di rumah yang lebih fleksibel, sekali gus mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan serta menjimatkan kos rawatan.

Langkah itu merupakan antara tumpuan utama yang diketengahkan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Wisma MBSA, di sini semalam.

Menurut Dzulkefly, pelaksanaan dasar PD-First bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit dari segi kemudahan rawatan di rumah malah membantu memperkukuh kecekapan sistem kesihatan negara secara keseluruhan.

“KKM komited untuk memperluas pelaksanaan PD-First bagi memastikan pesakit buah pinggang mendapat rawatan yang lebih fleksibel, selamat dan berkualiti, di samping mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan serta menjimatkan kos,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Menurut KKM, pelaksanaan dasar tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila peratusan pesakit yang menjalani rawatan Peritoneal Dialysis (PD) di fasiliti kementerian meningkat kepada 42 peratus pada tahun 2025 berbanding 36.6 peratus pada 2020, melibatkan seramai 3,161 pesakit yang telah menerima manfaat rawatan berkenaan.

Bagi menyokong pelaksanaan itu, sebanyak RM40 juta diperuntukkan pada tahun 2025 bagi memperluas akses rawatan PD di seluruh negara.

Dalam pada itu, tema sambutan tahun ini iaitu “Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua – Menjaga Manusia, Melindungi Planet” dilihat selaras dengan usaha KKM membangunkan sistem kesihatan yang inklusif, saksama dan mampan.

KKM turut memperluas usaha kesedaran dan saringan kesihatan melalui kerjasama strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti National Kidney Foundation Malaysia serta sokongan Kerajaan Negeri Selangor, termasuk inisiatif berkaitan pendermaan organ.

Orang ramai turut diseru agar memanfaatkan Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) serta Skim PeKa B40 yang disediakan secara percuma oleh kerajaan bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.

KKM dalam masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh aspek pencegahan, rawatan dan kesedaran kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button