KKM dedah hampir 58,000 murid pembawa Talasemia
KUALA LUMPUR – Seramai 57,910 daripada 2.12 juta murid yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa talasemia, dengan prevalens direkodkan pada kadar 59.1 bagi setiap 1,000 murid disaring.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, angka itu menunjukkan beban pembawa talasemia yang signifikan dalam kalangan pelajar, dengan prevalens tertinggi direkodkan dalam kalangan masyarakat Melayu, diikuti Kadazan-Dusun dan Cina.
“Negeri yang mempunyai kadar pembawa talasemia (per 1,000 murid disaring) ialah Kedah (103), Pahang (90.7), Terengganu (82.1), dan Kelantan (75),” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status pencapaian program saringan talasemia termasuk pelajar berusia 16 tahun, praperkahwinan, pranatal serta tahap kesedaran rakyat mengenai penyakit itu.
Talasemia ialah penyakit genetik akibat gangguan penghasilan hemoglobin dalam sel darah merah yang menyebabkan anemia dengan tahap keterukan berbeza. Penyakit ini terbahagi kepada talasemia alfa dan beta serta diklasifikasikan mengikut keterukan kepada talasemia minor, intermedia dan major.
Menurut Dr Dzulkefly, seramai 9,554 pesakit talasemia direkodkan di negara ini berdasarkan data rasmi Laporan Tahunan Daftar Talasemia Malaysia 2023 yang diperoleh daripada 102 hospital KKM dan dua hospital universiti terbabit.
Dari sudut klinikal, katanya, penghidap dikategorikan mengikut keperluan pemindahan darah iaitu pesakit bergantung kepada pemindahan darah (TDT) dan pesakit tidak bergantung kepada pemindahan darah (NTDT).
“Anggaran kos sepanjang hayat bagi setiap pesakit TDT bermula dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun adalah AS$606,665 (hampir RM3 juta), merangkumi 92.5 peratus kos penjagaan kesihatan manakala 7.5 peratus lagi ditanggung pesakit serta keluarga,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








