BERITA SEMASA

KP Kesihatan zahir penghargaan kepada Hospital Gerik

PUTRAJAYA – “Kepada Pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa. Sebuah hospital daerah dengan kapasiti terhad berjaya mengendalikan 29 mangsa cedera, melakukan bedah siasat dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang berduka.”

Demikian kata-kata penghargaan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab kepada semua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertindak pantas, penuh dedikasi dan berkorban masa dalam menangani tragedi nahas bas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disifatkan amat menyedihkan.

Beliau berkata, kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak itu bukan sekadar satu ujian bagi negara, tetapi juga membuktikan kekuatan, ketabahan dan keikhlasan para wira kesihatan negara.

Tambahnya, pada saat genting itu, kakitangan KKM berdiri teguh di barisan hadapan tanpa ragu, tanpa rungutan dan tanpa mengira waktu untuk menyelamatkan nyawa dan meringankan beban mangsa serta keluarga mereka.

“Pengorbanan seluruh staf daripada berjaga hingga larut malam sehingga datang seawal pukul 3 pagi walaupun bukan waktu bertugas adalah contoh sebenar semangat #KamiSediaMembantu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr. Mahathar turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Hospital Raja Permaisuri Bainun; Hospital Baling dan Hospital Taiping yang menunjukkan kerjasama padu dalam mengendalikan bedah siasat, rawatan kritikal dan pemindahan mangsa.

Katanya, mereka membuktikan sistem kesihatan Malaysia mampu menghadapi situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan dan semangat profesionalisme.

“Staf Pejabat Kesihatan Daerah dan Klinik Kesihatan juga memainkan peranan penting dengan sumbangan dari segi logistik, bantuan psikososial serta pemantauan pascatrauma.

“Walaupun tugas ini mungkin tidak kelihatan, ia sangat bermakna bagi mangsa dan keluarga yang dilanda kesedihan,” katanya lagi

Tambahnya, seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar dan tragedi itu membuktikan semangat pengorbanan dan komitmen mereka tidak pernah luntur.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin itu, seramai 15 penuntut UPSI terbunuh, manakala 33 penuntut lagi cedera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button