BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat di Bagan Datuk berlangsung meriah

BAGAN DATUK – Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini menganjurkan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025: “MOH Kita Sihat” sebagai usaha memperkukuh budaya hidup sihat melalui pendekatan menyeluruh melibatkan komuniti, agensi kerajaan dan sukarelawan.

Program yang berlangsung di Dewan Dato Lope Hashim di sini menghimpunkan pelbagai kementerian, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat bagi memperkukuh ekosistem kesihatan komuniti, seiring aspirasi “Sihat itu Saya, Sihat itu Kita, Sihat itu Malaysia”.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet ANMS, disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

KKM dalam kenyataan berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.86 juta melalui Geran Projek Promosi Kesihatan MyCHAMPION yang menyaksikan sebanyak 179 projek komuniti berjaya dilaksanakan bagi menyokong intervensi hidup sihat secara berterusan.

“KKM merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada 18,357 sukarelawan MyCHAMPION di seluruh negara yang menjadi penggerak utama pendidikan kesihatan komuniti ini,” katanya.

Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah yang berjaya mengumpulkan hampir 2,000 peserta.

Sempena itu, penganjuran ANMS tahun ini diisi dengan tiga komponen utama jelajah iaitu program MyCHAMPION bersama Wellness on Wheels (WoW) Zoomers yang menjalankan pendidikan kesihatan dari rumah ke rumah.

“Setakat ini, 622 lokaliti di 190 kawasan Parlimen telah dilawati dengan hampir 100,000 penduduk menerima manfaat. Aktiviti diteruskan hari ini di Kampung Bagan Ikan bersama sukarelawan tempatan,” kata KKM.

Turut dianjurkan Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah yang berjaya mengumpulkan hampir 2,000 peserta dalam kategori 21 km, 10 km dan 5 km, menggambarkan sokongan masyarakat terhadap gaya hidup aktif.

Selain itu, Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2.0 peringkat kebangsaan turut menghimpunkan lebih 400 sukarelawan termasuk pelajar institusi pendidikan dan komuniti tempatan bagi menjalankan pembersihan, pemeriksaan tempat pembiakan Aedes serta pendidikan pencegahan denggi dan chikungunya.

Menurut KKM, dalam usaha mengukuhkan transformasi sistem kesihatan negara daripada penjagaan berasaskan penyakit kepada penjagaan berasaskan kesejahteraan, pihaknya memperkenalkan pembangunan Wellness Hub sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan pencegahan dan promosi kesihatan.

“Sehingga Disember 2025, sebanyak 33 Wellness Hub telah beroperasi di seluruh negara.

“Inisiatif tersebut membawa perkhidmatan kesihatan lebih dekat kepada rakyat selain memupuk tanggungjawab kendiri selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, khususnya nilai Kesejahteraan dan Daya Cipta dalam membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan berkesedaran tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button