Jangkitan kusta di kampung Orang Asli kes terpencil – Dr Dzulkefly
PUTRAJAYA – Penularan penyakit kusta di dua buah perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan kes terpencil dan tidak membimbangkan.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan melibatkan penyebaran wabak berskala besar, lapor UM Online.
“Kita akan terus membuat penyiasatan dalam hal ini (jangkitan wabak kusta) dan menangani perkara ini segera.
“Ia bukanlah peningkatan mendadak tetapi hanya kes terpencil sahaja. Kita harap dapat mengelakkan jangkitan wabak itu (pada masa depan),” katanya, hari ini.
Jelas Dr Dzulkefly, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan proses intervensi, pencegahan dan pengesanan wabak kusta melalui Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang berperanan penting dalam usaha membanteras dan mengawal penyakit kusta di negara ini.
Dan bagi kes penularan ini, kata Dr Dzulkefly, Pejabat Kesihatan Daerah telah mengesahkan bilangan pesakit di kedua-dua kampung berkenaan dan saringan secara agresif dijalankan pihaknya.
Terdahulu, laporan media menyebut mengenai kewujudan kes kusta dalam kalangan Orang Asli Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah.
Setakat ini, penyakit berkenaan telah menyebabkan satu kematian melibatkan remaja perempuan berusia 18 tahun.
Lapan lagi penduduk, berusia antara tujuh hingga 85 tahun dengan masing-masing lima dari Kampung Chergun dan empat dari Guntur disahkan mengidap kusta, pada 2 Jan lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








