KKM pantau wabak nipah secara proaktif, berhubung dengan WHO – Dr Dzulkefly
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memantau situasi penularan virus Nipah di India secara proaktif serta berhubung terus dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menentusahkan data epidemiologi terkini.
Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan keselamatan rakyat dan negara adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Justeru, KKM telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan di semua pintu masuk antarabangsa negara. Para ‘gatekeepers’ kita kini berada dalam mod berjaga-jaga tinggi,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Baca juga : Virus Nipah: KKM pertingkat pemantauan di pintu masuk antarabangsa
Dr Dzulkefly berkata, langkah yang diambil termasuk pemantauan tahap kesihatan yang ketat terhadap pengembara, pelaksanaan protokol tindakan pantas (ready-to-act) bagi individu yang bergejala, serta pengaktifan Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) yang bersedia sepenuhnya.
Dr Dzulkefly menambah, pendekatan ‘One Health’, dengan pemantauan rantaian manusia, haiwan dan alam sekitar, akan menjadi benteng pertahanan awal negara sebagai langkah pencegahan awal.
“Setiap langkah yang diambil KKM adalah berpandukan sains dan penilaian risiko (evidence-based), bukan khabar angin. Yakinlah bahawa sistem kesihatan awam kita adalah teguh (robust), teruji, dan bersedia melindungi rakyat,” ujarnya.
Penyakit Nipah merupakan penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV), dengan keluang (flying foxes atau fruit bats) sebagai perumah semula jadi.
Gejala lazim penyakit ini termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan, yang biasanya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.
Komplikasi penyakit ini termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








