BERITA SEMASA

KKM arah jualan aiskrim ubat batuk Cap Ibu dan Anak dihentikan serta-merta

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan semua pihak menghentikan penjualan produk aiskrim yang dicampur dengan ubat batuk serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan telah membuat semakan di premis penjualan aiskrim yang ditularkan dan mendapati aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).

“Pei Pa Koa merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

“Ia digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim dicampurkan ubat batuk dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan walaupun bagi tujuan untuk pemasaran serta melariskan jualan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” ujarnya.

Menurut KKM, di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button