Kerajaan kecualikan waktu bekerja syif kepada petugas kesihatan kritikal di KKM
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pengecualian itu melibatkan seramai 82,637 petugas kesihatan, termasuk Jururawat, Jururawat Masyarakat, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Penolong Pegawai Perubatan, dan Pembantu Perawatan Kesihatan.
“Kerajaan mengambil maklum dan amat prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” menurut kenyataan JPA.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti secara mendalam keperluan operasi serta realiti tugas kritikal yang digalas oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit sepanjang masa.
“Kerajaan menyedari bahawa tanggungjawab yang dipikul memerlukan kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa,” katanya.
Langkah ini juga mencerminkan komitmen kerajaan Malaysia MADANI untuk terus mendengar, memahami dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang merupakan tulang belakang sistem kesihatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















